Pengenalan Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi

Kenali silat ini

 

 

Apa yang anda perlu tahu?

 

Ciri-ciri utama silat ini :


  • Merupakan silat beladiri .ia bukan merupakan pencak atau tari silat. Tiada bunga-bunga silat dan tidak memerlukan alat-alat bunyian.

  • Semua buah pelajarannya berasal dari alam Melayu.Tidak ada buah-buah pelajaran yang diambil atau dicampur aduk dengan kaedah-kaedah mempertahankan diri baik dari luar mahupun dari dalam negeri,kerana diyakini bahawa kaedahnya lengkap untuk mempertahankan diri.

  • Merupakan seni silat, oleh itu ia berasaskan gerakan berseni yang tidak memerlukan kekuatan dan tenaga luar biasa untuk mengalahkan musuh.Manakala semua pergerakannya berdasarkan semulajadi manusia.

  • Pelajarannya menekankan dan dimulakan dengan kaedah menunggu serangan dan bukannya didahului dengan kaedah menyerang.Teknik menyerang hanya ditunjukkan pada akhir pelajarannya.

  • Kaedah menanti serangannya adalah dengan cara berdiri lurus seperti berdiri orang sembahyang tanpa menggunakan kuda-kuda.

  • Kaedahnya tidak menggunakan kaki sama sekali untuk menyerang, serta tidak ada gerakan kaki yang tinggi dan membahayakan untuk mempertahankan diri.

  • Silat ini bersih dan murni daripada unsur-unsur tahyul dan khurafat.Sebab itulah tidak ada amalan-amalan membuka gelanggang,menyeru roh serta hilang ingatan semasa mempelajarinya.

  • Jika berlatih selama tiga kali seminggu maka pelajarannya dapat ditamatkan dalam masa enam bulan sahaja.Walaupun begitu tempoh masa ini boleh diubahsuai dengan tempat belajar penuntut.Misalnya di pusat-pusat pengajian ,tempoh belajar disesuaikan dengan sistem semester.*Di MMU tempoh penuntut belajar adalah setahun akademik bersamaan tiga trimester.


Ciri-ciri di atas dinyatakan sekadar untuk memberi pengetahuan kepada umum, tentang silat ini.Ia bukan bertujuan untuk bermegah atau berbangga-bangga kerana sekiranya ada kelebihannya,ia bukan kelebihan guru atau pengamal-pengamal silat ini sebaliknya ia adalah kelebihan untuk nenek kita orang-orang melayu.

 


PENGERTIAN PERKATAAN CEKAK

MAKAN CEKAK merupakan peribahasa Melayu Kedah yang membawa pengertian kesanggupan, keupayaan dan rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas. Tegasnya silat ini adalah seni silat yang bertanggung jawab untuk menjaga keselamatan diri.

CEKAK dalam bahasa Minangkabau bermaksud gaduh. Jadi silat ini adalah silat gaduh. Tetapi bukan tujuan utama silat ini untuk bergaduh tetapi ia boleh digunakan untuk menjaga keselamatan diri di dalam pergaduhan.

SECEKAK bermaksud segenggam. Bermakna silat ini mengajar yang segenggam bukannya segantang. Ini bermakna pelajaran silat ini merupakan intisari pelajaran silat sahaja (segenggam) bukannya cabang silat yang banyak (segantang).

CEKAK dalam bahasa Jawa bererti ringkas. Silat ini mudah dipelajari melalui sistem pelajaran yang teratur dan ringkas. Tidak perlu mengelak ke kiri dan ke kanan, hanya berdiri lurus ketika menunggu serangan dan bergerak di dalam gerak yang satu.

CEKAK bererti pegangan, iaitu silat ini mempunyai pendirian, pegangan dan tujuannya yang tersendiri. Mempelajari silat bukan untuk bermegah-megah, sombong, menceroboh, mengikut nafsu tetapi sebenarnya untuk menjaga diri, bangsa dan agama.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

 

 

 

 

 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

stats counter
Web Counter